Waktu Di Malaysia

Waktu Di Yaman

Tuesday, November 30, 2010

CORETAN RINGKAS

Alhamdulillah….

Syukur pada tuhan yang mengurniakan nikmat iman dan islam pada diri ini. Sedikit coretan yang ingin dikongsi bersama mengenai piala futsal PERMAYA pada minggu lepas.

Walaupun team rumah iman kalah pada suku akhir, kita berpuas hati kerana penyertaan ini dapat meningkatkan ukhuwwah islamiyah dengan lebih rapat. Rasa-rasanya itulah objektif penganjur dalam piala futsal kali ini.

Sesekali tersungkur di padang kerana kekasaran pemain merupakan adat dalam permainan bola. Tidak perlu menaruh hati atau menyimpan dendam. Perasaan ingin menang mesti ada pada setiap pemain. Tetapi sifat beralah dan mengalah juga perlu untuk menjamin suasana ukhuwwah. Bukan sikap mengaku kalah.

“Maaf, tak sengaja tadi…”
“Tak pa. biasa aja nie…”

Mental juga amat penting untuk memupuk suasana harmoni dalam permainan. Kejutan dan terjahan dari pihak lawan boleh memberi tekanan kepada mental pemain. Akibatnya, kekasaran dan ungkapan keji terhasil. Tambahan pula dengan sikap peribadi yang kurang disenangi oleh sebahagian orang menyebabkan keadaan boleh menjadi tidak terkawal.

Sokongan dan jeritan penonton amat memberi kesan jika tidak ada persediaan mental yang kuat. Mungkin agak susah untuk mengawal emosi ketika berada dalam padang. Namun, nilai-nilai islam perlu dijaga daripada pihak pemain mahupun penonton.

Biarlah piala futsal ini berakhir dengan baik, ukhuwwah dan mahabbah. AL AMAL BIL KHAWATIM!.... Desas desus selepas bermain hanya akan membangkitkan amarah yang sedia ada. Berlapang dada adalah jalan terbaik!!!....




Sunday, November 21, 2010

Kisah daripada hadith -bukhari muslim



Nabi s.a.w bersabda menceritakan kisah seorang lelaki yang diberi nikmat dunia oleh Allah ta’ala dengan harta yang mewah dan beberapa orang anak. Namun beliau tidak bersyukur dengan nikmat Allah ta’ala malah tenggelam dalam melakukan maksiat sepanjang umurnya. Lalai dengan nikmat duniawi sehingga lupa untuk menyediakan bekalan amalan ukhrawi.


Hinggalah tiba detik-detik berakhirnya ajal. Beliau berasa takut lantaran bekalan amalan akhirat yang tandus kering dalam hidupnya. Takut kepada azab neraka Allah yang menanti mereka yang mempersiakan hidup di atas muka bumi.


Lantaran ketakutan yang menyelubungi amat kuat, maka beliau merancang untuk melarikan diri daripada azab Allah. Beliau menyeru anak-anaknya dan menyatakan hasratnya. Kemudian memerintahkan supaya mayatnya nanti dibakar dan sebahagian abunya dilemparkan ke dalam laut dan sebahagian lagi diterbangkan ke udara.


Keadaan beliau dan anak-anak yang jahil dengan kekuasaan dan kekuatann Allah ta’ala mendorong anak-anaknya melaksanakan perintah tersebut dengan mudah. Dua dosa besar telah dilakukan oleh lelaki tadi. Pertama beliau menjadikan hidupnya sia-sia dengan maksiat. Kedua, kejahilan beliau bahawa Allah ta’ala mampu menghidupkan sesuatu dengan cara apa sekalipun.


Selepas daripada itu, Allah s.w.t memetintahkan laut dan darat supaya mengumpulkan jasad beliau dan Allah s.w.t bertanya: mengapa kamu lakukan semua ini? Beliau menjawab: lantaran teramat takut kepadaMu ya Rabb! Maka dengan rahmat Allah, diampunkan segala dosa-dosanya yang lalu.

Tuesday, November 16, 2010

Manusia bukan diciptakan untuk hidup di dunia?



Jika kita perhatikan janin yang mempunyai tangan dan kaki di dalam rahim ibunya. Pasti kita akan mengatakan bahawa janin tersebut bukanlah diciptakan untuk hidup di dalam rahim ibunya. Apakah yang dapat dilakukan di dalam tempat yang amat sempit tersebut. Apakah tujuan di ciptakan tangan dan kaki di dalam rahim ibu. Oleh itu, semua orang pasti mengatakan bahawa janin memang bukan diciptakan untuk hidup di dalam rahim ibu.

Manusia juga bukanlah ciptaan yang diciptakan untuk hidup di alam dunia ini. Ada 2 perkara pada diri setiap manusia yang membuktikan bahawa manusia bukanlah diciptakan untuk hidup di alam dunia seperti janin yang tidak diciptakan untuk hidup di dalam rahim ibunya
‘Siapa yang mahu mati?’ Tanya seorang penceramah kepada hadirin. Tidak ada seorang pun yang menjawab saya mahu mati. Semua orang inginkan agar dipanjangkan umur, dan kalau boleh tidak mahu mati lansung. Biar dia dapat melihat semua keturunannya, dia belum puas menikmati hidup. Orang yang mahu mati cepat hanyalah orang yang putus asa untuk hidup.
Seorang jutawan sentiasa bekerja keras untuk menambah hartanya walaupun harta yang ada padanya sekarang tidak habis digunakan sehingga tujuh keturunannya. Manusia tidak akan pernah puas mengumpul harta.
‘Haikal rasa nak tukarlah kereta BMW tu, sekarang dah keluar model baru’. Luah Haikal kepada ayahnya Datuk Hashim, walaupun di rumahnya sudah mempunyai 7 kereta mewah.
Setelah habis menguasai bumi dia mahu ke bulan pula. Setelah itu planet marikh pun mahu dijelajahinya. Begitulah tabiat kejadian manusia, fitrah kejadian manusia memang ingin hidup selama-lamanya dan tidak akan pernah puas dengan apa yang ada. Dua bukti tersebut menunjukkan bahawa manusia bukanlah diciptakan untuk hidup di dunia ini. Semua saintis telah bersepakat bukan sahaja bumi, bahkan seluruh alam ini akan musnah juga pada suatu hari nanti. Segala khazanah yang ada di bumi juga tidak cukup untuk menampung nafsu serakah manusia yang tidak pernah berasa puas.
Allah swt yang Maha Mengetahui dan Maha Bijaksana tidak akan mensia-siakan fitrah kejadian yang telah diciptakan-Nya. Dia telah menyediakan suatu alam yang lain untuk manusia memperolehi apa yang dihajatinya sekarang yang mustahil dapat dikecapi di alam dunia. Ya! Alam tersebut adalah alam akhirat, di syurga Allah yang telah disediakan bagi hamba-hamba-Nya yang beriman dan bertaqwa. Hamba yang tidak leka dengan kehidupan dunia yang bersifat sementara dan penuh tipu daya.
Firman Allah:Masukilah syurga itu dengan aman, Itulah hari yang berkekekalan. Mereka di dalamnya memperoleh apa yang mereka kehendaki; dan pada sisi kami ada tambahannya.” Surah Qaaf: 34-35

Oleh: Ibnu Najeeb

Sunday, November 14, 2010

KEPADA SEMUA!!!




kullu am wa antum bikhair!!!

taqabbalallahuminna waminkum!!!

Tuesday, November 9, 2010

Air asaas kehidupan



Semua benda hidup iaitu manusia, haiwan dan tumbuh-tumbuhan terdiri daripada sel, samada unisel seperti ameba ataupun multisel seperti manusia. Sel pula terdiri daripada nukleus, sitoplasma dan membran/dinding sel. 75% kandungan sel (sitoplasma) adalah terdiri daripada air. Oleh yang demikian, para saintis membuat kesimpulan, bagi sesuatu benda hidup itu hidup maka ia memerlukan air.
Para ahli astronomi pula akan memastikan terlebih dahulu kewujudan air di satu-satu planet bagi membuktikan bahawa wujudnya kehidupan (benda hidup) di planet tersebut. Jika di sana ada air, maka besar kemungkinan ada benda hidup di situ. Kesimpulannya, air merupakan perkara asas kepada benda hidup. Perkara ini telah dijelaskan oleh ALLAH swt kepada RasulNya Muhammad saw dalam al Quran lebih 1400 tahun yang lalu. Firman ALLAH:
مِنَ الْمَاءِ كُلَّ شَيْءٍ حَيٍّ أَفَلَا يُؤْمِنُونَ (30
yang bermaksud: “Dan dari air, Kami jadikan semua benda hidup. Maka mengapakah mereka tidak juga mau beriman?” (Surah Al-Anbiya: 30)


Bagaimanakah Nabi Muhammad saw mengetahui hakikat tersebut sedangkan saiz setiap satu sel tidak lebih daripada 0.00001mm dan para saintis pula hanya mencipta mikroskop pada awal kurun ke-18???
Ini membuktikan bahawa Nabi Muhammad saw benar-benar seorang Rasul yang diutus oleh ALLAH swt dan al Quran pula benar-benar merupakan wahyu yang diturunkan oleh Allah swt kepada Baginda saw. Ia juga membuktikan kepada kita bahawa segala benda hidup diciptakan oleh Pencipta yang sama (Allah), kerana asas kejadian semua benda hidup adalah sama iaitu AIR, sekaligus memberitahu kita sesungguhnya Allah Maha Esa dan tiada tuhan melainkan Allah.
Maka mengapakah masih ada juga yang tidak mau beriman? W/a…

Friday, November 5, 2010

I'JAZ BALAGHI

فَالْيَوْمَ نُنَجِّيكَ بِبَدَنِكَ لِتَكُونَ لِمَنْ خَلْفَكَ آَيَةً وَإِنَّ كَثِيرًا مِنَ النَّاسِ عَنْ آَيَاتِنَا لَغَافِلُونَ 
Yang bermaksud: "Maka pada hari ini kami selamatkan badanmu supaya kamu dapat menjadi pelajaran bagi orang-orang yang datang sesudahmu dan sesungguhnya kebanyakan dari manusia lengah dari tanda-tanda kekuasaan Kami".(surah yunus:92)

            Salah satu daripada mukjizat balaghah di dalam Al quran, adalah kebiasaannya perbezaan pendapat di kalangan mufassirun (ulama' tafsir) tentang makna sesuatu perkataan di dalam al Quran merupakan suatu perbezaan yang membawa maksud yang pelbagai, bukannya perbezaan yang berlawanan maksudnya di antara satu sama lain (خلاف تنوع لا خلاف تضاد).

            Jika seseorang itu meneliti pendapat para mufassirun tersebut, maka dia akan mendapati bahawa kebanyakkan perkataan di dalam al Quran mempunyai makna yang banyak, atau dalam erti kata yang lain, satu perkataan mengandungi pelbagai maksud. Bahkan makna yang pelbagai tersebut saling berkaitan serta melengkapi di antara satu dengan yang lain. Ianya sekaligus membuktikan keindahan bahasa al Quran yang merupakan kalam Allah yang ringkas dan pendek tetapi membawa maksud yang banyak dan mendalam jika kita mentadabburinya.

            Salah satu contohnya ialah seperti ayat di atas. Ulama' Tafsir menafsirkan perkataan ننجيك seperti berikut:-
1-    Lafaz tersebut membawa maksud النجاء iaitu mempercepatkan, yakni pada hari ini kami mempecepatkan kemusnahan kamu.
2-    Dan dikatakan juga: Ianya bermakna kami jadikan kamu seperti النجاء iaitu sesuatu yang disingkirkan dan dibuang seperti sampah, yakni pada hari ini kami menyingkirkan dan membuang kamu seperti sampah sarap.
3-    Pendapat yang lain pula: Ia berasal daripada perkataan النجو iaitu tenggelam, yakni pada hari ini kami menenggelamkan kamu di dalam laut.
4-    Maksudnya adalah menyelamatkan, yakni pada hari ini kami keluarkan kamu dari laut dengan selamat tanpa sedikit pun kecederaan pada badanmu.
5-    Ianya membawa maksud النجاة iaitu melepas ia akan dia, yakni pada hari ini kami melepaskan rohmu daripada badanmu.
6-    Ianya memberi makna النجا iaitu berhadas (buang air), yakni pada hari ini kami jadikan kamu sampai terbuang air tanpa disedari; ia sebagai menambahkan lagi penghinaan ke atas Firaun.
7-    Dan ada yang mengatakan bahawa maknanya: dan pada hari ini kami keluarkan kamu dari laut dengan bertelanjang bulat.
8-    Dikatakan juga mengatakan maksud ayat tersebut adalah: dan pada hari ini kami keluarkan kamu dari takhta kamu keseorangan diri.
9-    Dan akhir sekali maknanya نجوة من الأرض  suatu tempat yang tinggi, yakni: dan pada hari ini kami melemparkan kamu ke suatu tempat yang tinggi.

            Kesimpulannya, jika kita gabungkan kesemua pendapat di atas, maka kita akan dapati bahawa ianya seolah-olah menghasilkan sebuah cerita yang lengkap bagaimana bermulanya peristiwa Firaun ditenggelamkan oleh Allah swt di dalam laut sehingga ke akhirnya serta apa yang sedang berlaku semasa Firaun sedang tenggelam.       

            Kisahnya boleh dianggap lebih kurang seperti berikut wallahu 'alam: maka pada hari ini, Kami mempercepatkan kemusnahanmu (Fir'aun), maka Kami mencampakkan kamu ke dalam laut seperti sampah yang tidak berguna, lalu Kami membiarkan kamu tenggelam dan kelemasan di dalamnya, sehinggakan kamu berhadas (terberak-berak dan terkencing-kencing) tanpa kamu sedari kerana terlalu cemas, kemudian kami keluarkan jasadmu tanpa roh (mayat) dari laut dengan selamat tanpa sedikit pun kecederaan atau dimakan oleh haiwan laut dalam keadaan bertelanjang bulat keseorangan diri sahaja serta telah kehilangan segala takhta kerajaan dan kekuasaan kamu, dan akhirnya kami lemparkan kamu kamu ke suatu tempat yang tinggi agar dapat dijumpai dan dilihat oleh kaummu yang sebelumnya meragui akan kematian kamu.

            Begitulah terserlahnya keagungan dan keindahan bahasa al Quran (I'jaz Balaghi) yang mengungkapkan satu perkataan sahaja tetapi mengandungi pelbagai maksud untuk menceritakan sebuah kisah yang panjang.

            Di sana terdapat satu lagi perkara yang menarik perhatian kita iaitu, kenapakah Allah swt mengatakan فاليوم ننجيك (maka pada hari ini kami sealamatkan kamu) sedangkan menurut kaedah nahu yang lebih tepat (didahulukan 'amil sebelum ma'mulnya) adalah فننجيك اليوم (maka kami selamatkan kamu pada hari ini)? Jawabnya wallahu 'alam; maksud Allah menyelamatkan Fir'aun hanyalah terhad pada dunia ini sahaja agar ummatnya dan ummat di kemudian hari dapat mengambil tauladan dan pengajaran yakni Kami tidak selamatkan kamu kecuali pada hari ini sahaja (di dunia).

Di dalam ayat ini juga terdapat satu lagi mukjizat al Quran, Nabi Muhammad saw telah memberitahu kita sebelum 1400 tahun dahulu bahawa Allah swt telah menyelamatkan jasad Fir'aun yang mengejar Nabi Musa as dan Bani Israel. Dan sekarang kita semua masih dapat melihat jasad tersebut yang masih utuh tersimpan di sebuah muzium di Mesir. Jasad tersebut telah dilakukan satu bedah siasat oleh sekumpulan pakar perubatan dan forensik di antaranya Prof. Dr. Maurice Bucaille. Bedah siasat yang dilakukan di Perancis itu mendapati bahawa itulah jasad Fir'aun yang telah ditenggelami air yang kemudiannya telah diselamatkan oleh Allah Ta'ala seperti yang dinyatakan di dalam al Quran.

            Oleh yang demikian, segalanya membuktikan bahawa kitab al Quran benar-benar merupakan Kalam Allah swt yang telah diwahyukan kepada Nabi Muhammad saw. Justeru menjelaskan kepada kita yang al Quran memang sebuah kitab suci dan wahyu Allah yang tulin dan masih terpelihara segala isi kandungannya, serta Nabi Muhammad saw sememangnya merupakan seorang nabi dan rasul yang diutuskan oleh Allah swt buat ummat manusia akhir zaman ini.
وَمَا يَنْطِقُ عَنِ الْهَوَى . إِنْ هُوَ إِلَّا وَحْيٌ يُوحَى 
(surah an-najm:3-4)

Thursday, November 4, 2010

SELAMAT MENUNAIKAN IBADAH HAJI




SELAMAT MENUNAIKAN IBADAH HAJI KEPADA IKHWAH YANG NAK PERGI HAJI TAHUN NIE!

DOAKAN KEJAYAAN KAMI DALAM MENUNTUT ILMU DAN MENGEJAR AMAL SOLEH!

 
Powered by Blogger