Waktu Di Malaysia

Waktu Di Yaman

Thursday, August 14, 2008

tafsir surah an-nass


Janji syaitan

Firman Allah:
{قَالَ فَاخْرُجْ مِنْهَا فَإِنَّكَ رَجِيمٌ}
{وَإِنَّ عَلَيْكَ لَعْنَتِي إِلَى يَوْمِ الدِّينِ}
{قَالَ رَبِّ فَأَنظِرْنِي إِلَى يَوْمِ يُبْعَثُونَ}
{قَالَ فَإِنَّكَ مِنْ الْمُنظَرِينَ}
{إِلَى يَوْمِ الْوَقْتِ الْمَعْلُومِ}
{قَالَ فَبِعِزَّتِكَ لَأُغْوِيَنَّهُمْ أَجْمَعِينَ}
{إِلاَّ عِبَادَكَ مِنْهُمْ الْمُخْلَصِينَ}
Allah berfirman: " Kalau demikian, keluarlah engkau daripadanya, kerana sesungguhnya engkau adalah makhluk yang diusir. Dan sesungguhnya engkau ditimpa laknatku terus menerus hingga ke hari kiamat! Iblis berkata: " Wahai Tuhanku! Jika demikian, berilah tempoh kepadaku hingga ke hari mereka dibangkitkan (hari kiamat) Allah berfirman: " Dengan permohonanmu itu, maka sesungguhnya engkau dari golongan yang diberi tempoh. Hingga ke hari masa yang termaklum. Iblis berkata: " Demi kekuasaanmu (wahai Tuhanku), aku akan menyesatkan mereka semuanya. Kecuali hamba-hambaMu di antara zuriat-zuriat Adam itu yang dibersihkan dari sebarang kederhakaan dan penyelewengan.[1]

Syaitan penggoda.

Kita tidak mengetahui bagaimana berlangsungnya bisikan Syaitan, tetapi kita merasakan kesan-kesannya dalam jiwa dan dalam realiti hidup kita. Kita sedar bahawa pertarungan antara Adam dengan Iblis adalah satu pertarungan yang amat lama. Kita sedar bahawa Syaitan telah mengisytiharkan perang berterusan, iaitu satu perisytiharan yang lahir dari tabiat jahat yang ada dalam dirinya, dan lahir dari sifat-sifat angkuh, hasad
dengki dan dendam kesumatnya terhadap manusia. Kita sedar Syaitan telah meminta kebenaran dari Allah untuk memerangi manusia, dan permintaannya itu telah diluluskan Allah kerana suatu hikmat yang diketahui-Nya. Walau bagaimanapun Allah tidak membiarkan manusia mengharungi perjuangan itu tanpa senjata, malah Dia telah menjadikan keimanan sebagai perisai untuk mereka, zikir sebagai kelengkapan perang
dan doa memohon perlindungan sebagai senjata. Andainya manusia itu lupakan perisai, kelengkapan dan alat senjatanya maka dialah sahaja yang patut disalahkan.[2]

Mengenai penggoda-penggoda dari kalangan manusia pula kita memang mengetahui dan mengenali banyak dari hasutan-hasutan dan bisikan-bisikan mereka yang jahat, malah kita tahu bahawa di antara hasutan dan bisikan jahat manusia itu ada yang lebih buruk daripada hasutan dan bisikan Syaitan. Mereka terdiri daripada: Teman-teman jahat yang menaburkan kejahatan ke dalam hati dan akal kawannya tanpa disedari dan
diawasi olehnya kerana ia teman yang dipercayainya.[3]


Pembahagian tauhid.[4]

Tauhid uluhiah : Pengakuan bahawa Allah ta’ala adalah satu-satunya tuhan yang berhak disembah.
Tauhid rububiah : Pengakuan bahawa Allah adalah satu-satunya tuhan yang menciptakan segala sesuatu. Al-malik, al-muhyi, al-mumit, ar-razzaq, ad-dhor, al-qodir ‘alal kholq dll.
Tauhid asma’ wa sifat : Kepercayaan sepenuhnya bahawa Allah ta’ala bersifat dengan semua sifat kesempurnaan dan suci dari sifat-sifat kekurangan.


Sebab penurunan

Pernah nabi s.a.w disihir oleh seorang yahudi(bernama Labid bin al-A’som). Baginda pun mengadu, maka datanglah Jibril dan menurunkan ma’uzatain lalu berkata: sesungguhnya engkau telah disihir oleh seorang yahudi di telaga si fulan. Saidina Ali r.a pergi ke telaga tersebut dan membaca ayat al-quran lalu merungkaikan sihir tersebut sehingga nabi terasa seolah-olah terlepas dari ikatan.


Fadhilat surah an-nass

Daripada Abi Habis al-Juhani bahawa rasulullah s.a.w bersabda: wahai Abi Habis, mahukah aku beritahu kepadamu sebaik-baik apa yang diucapkan oleh orang yang ingin meminta perlindungan? Baik ya rasulullah. Rasulullah s.a.w bersabda lagi. {قُلْ أَعُوذُ بِرَبِّ الْفَلَقِ} dan{قُلْ أَعُوذُ بِرَبِّ النَّاسِ}. Kedua-duanya ialah ma’uzatain[5].

Daripada ali bin abi tholib mengatakan pernah Nabi s.a.w disengat kala jengking ketika baginda sedang solat. Setelah selesai, baginda meminta sedikit air dan garam. Kemudian baginda menyapu ke atas luka sambil membaca surah quraish, al-ikhlas, al-‘alaq dan an-nass[6].

Daripada Abdullah bib Khubaib mengatakan rasulullah s.a.w berkata kepada kami: Katakanlah! Aku tidak berkata apa-apa dan bertanya: apa yang perlu aku katakana wahai rasulullah? Rasulullah bersabda: Katakanlah {قُلْ هُوَ اللَّهُ أَحَدٌ} dan ma’uzatain setiap petang dan pagi tiga kali. Itu sudah memadai bagimu daripada segala sesuatu[7].

[1] Surah shad : 77-83
[2] Fi dzilalil quran- syed qutb
[3] Fi dzilalil quran- syed qutb
[4] Mabafis fi ulum aqidah – sheikh haidar ahmad shofih
[5] Hadis nasai dan baihaqi
[6] Fathul qadir: haithami di dalam mujma’, diriwayatkan oleh thobrani
[7] Abu daud, tarmizi dan nasai

1 comments:

Anonymous said...

salam perjuangan kepada sahabat2 disana bnyakan berdoa dan berdoa di dalam medan perjuangan i'allah kalian semua berjaya...

 
Powered by Blogger