Waktu Di Malaysia

Waktu Di Yaman

Monday, March 1, 2010

JELASKAN MATLAMAT!

Kepelbagaian organisasi dan kumpulan-kumpulan dakwah menyebabkan masing-masing mendakwa bahawa mereka ialah yang terbaik dan yang paling dekat dengan Islam. Suasana ini memberi kesan yang amat mendalam kepada masyarakat dalam memahami tujuan dakwah dengan jelas. Tidak perlu dinafikan kerana sudah banyak mereka yang ingin berkorban untuk Islam tetapi terkorban kerana matlamatnya tidak jelas. Ataupun mereka merasa matlamat yang sedang mereka perjuangkan adalah jelas tetapi sebenarnya berpunca daripada hasil fahaman yang syubhah.



PAHLAWAN NERAKA


Syarat penerimaan amalan dalam ibadah ialah ikhlas. Setiap perkara yang dilakukan tanpa ikhlas tidak akan diterima Allah SWT. Boleh jadi juga bercampur unsur syirik jika niat disertakan dengan selain Allah SWT. Fudhail bin ‘Iyadh berkata:



“Meninggalkan amal kerana manusia adalah riya’ dan beramal kerana mansia adalah syirik. Ikhlas adalah apabila Allah SWT membersihkan kamu dari keduanya” (al kabair oleh az Zahabi)

Ada juga satu kisah disebut dalam sohih bukhari tentang seorang sahabat yang bernama Qozman yang berperang dalam satu peperangan:

“…dalam barisan muslimin juga terdapat seorang lelaki yang tidak berjumpa musuh kecuali ia membunuhnya sehingga ia terbunuh.

Para sahabat berkata kepada Rasulullah SAW: “Tidak seorangpun yang dapat berbuat seperti fulan ini.”

Rasulullah SAW menjawab: “Sesungguhnya dia adalah ahli neraka”.

Pada akhir hadis Rasulullah SAW bersabda:



“bahawa seorang lelaki beramal dengan amalan ahli syurga seperti yang dipandang manusia sedangkan dia ialah ahli neraka” (sohih bukhari, bab perang khaibar, 4202)





TERSASAR WALAUPUN BERSAMA


Dalam kitab Fathul Bari ada disebutkan bahawa Qatadah bin Nu’man melintasi Qozman ketika sedang berperang.

“Tahniah pada kamu dengan syahid(jika kamu mati syahid)” Qatadah menyapa.

“Demi Allah aku tidak berperang kerana agamaku, tetapi aku berperang kerana kaumku”.

Ikhwah yang dirahmati Allah,

Kita perlu menetapkan tujuan dengan jelas supaya kita tidak tersasar daripada Islam. Jika kita berjuang dalam salah satu jamaah daripada jamaah islam, kita perlu faham ia adalah salah satu wasilah bagi melaksanakan tujuan asal iaitu islam. Jangan berjuang kerana wasilah atau jamaah, tetapi berjuanglah kerana Islam.

Inilah seruan para nabi yang hanya menyeru manusia kepada Allah walaupun berbeza kaum dan bangsa. Menyeru kepada adab dan akhlak islam serta beramal dengan hukum islam. Darah kita hanya untuk jamaah islam, bukan untuk jamaah daripada jamaah islam. Jangan sasarkan matlamat kita dengan penjajahan pemikiran syaitan kerana ia akan mencemarkan keikhlasan dalam berjuang.



sumber: hambamurabbi.blogspot.com

Saturday, February 27, 2010

BERBEZAKAH KITA?

Banyak perselisihan berlaku kebelakangan ini. Tidak pasti salah faham atau fitnah penyakit hati yang terbawa-bawa oleh manusia berjiwa dangkal. Samada mereka ini tidak tahu ataupun tidak mahu tahu manakah benar dan manakah salah sehingga tidak dapat mengenalpasti baik buruk. Tambahan pula ia berlaku di kalangan umat islam yang mempunyai ukhuwah berpaksikan keimanan kepada Allah dan Nabi SAW.

Apa yang pasti setiap manusia mempunyai pandangan yang berbeza. Pasangan suami isteri sahaja sudah cukup untuk menjadi contoh bagi menunjukkan perbezaan pendapat di dalam sebuah rumah tangga. Ulama’ juga saling berselisih pendapat dalam masalah hukum. Masing-masing mengemukakan hujah dan dalil sendiri untuk memperkuatkan pandangan mereka.

Firman Allah SWT:



“Dan kalaulah Tuhanmu (wahai Muhammad) menghendaki, tentulah Ia menjadikan umat manusia semuanya menurut agama yang satu. (Tetapi Ia tidak berbuat demikian) dan kerana itulah mereka terus-menerus berselisihan.” (Hud: 118)

Para ulama’ menafsirkan bahawa mereka yang akan sentiasa berselisih adalah di kalangan muslim dan kuffar atau di antara yang benar dan yang batil. Namun perbezaan juga berlaku sesama muslim yang memperjuangankan agama Allah. Sebenarnya, perbezaan dari sudut wasilah dan wajihah dakwah bukan mununtut perpecahan, tetapi dapat ia membawa kepada kematangan dan kebersamaan supaya saling lengkap melengkapi.




Tetapi yang pasti perselisihan ini tidak boleh membawa kepada pertengkaran dan pecah belah. Kita perlu membezakan di antara ikhtilaf tanawwu’(pelbagai) atau pun tadhood(berlawan). Syed qutb ada menyatakan dalam fi zilal bagi ayat 213 surah al baqarah:

“Di sini jelaslah satu hakikat yang besar bahawa daripada tabiat manusia itu saling berikhtilaf kerana ikhtilaf adalah daripada asal penciptaan manusia sebagai hikmah yang besar untuk mendapat kekuasaan di atas muka bumi ini. Khilafah ini memerlukan tugas yang berbeza-beza dan persediaan dari setiap segi supaya semua saling lengkap melengkapi dan bergabung” (fi zilal quran)



Penyelesaian


Islam adalah jalan penyelesaian yang terbaik. Jika ada perselisihan faham, maka kembalilah kepada al quran dan sunnah kerana inilah sumber kita. Firman Allah SWT:




“Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya - jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya. “ (an nisa’: 59)

Bermakna setiap penyelesaian perlu merujuk kepada dua sumber ini. Menggunakan prinsip-prinsip islam dan kaedah-kaedah yang syar’ei. Tidak kira dari aspek adab, akhlak mahupun hukum. Bukan mengikut akal sendiri yang terhad dan hawa nafsu membabi buta.

Thursday, January 21, 2010

Gotong-royong dapur

النظافة من الإيمان
“Kebersihan itu sebahagian daripada Iman.”

[tidak disahihkan sebagai hadis Nabi alayhis-salam, tetapi maknanya sahih]


Memandangkan kepada keadaan dapur yang kelihatan sempit, kami ahli dapur semasa duduk bersembang-sembang bersepakat untuk mengadakan gotong-royong dapur. Biasalah, apabila sudah lama tidak diasingkan, barangan dapur sudah bercampur dengan barangan peribadi.

Jumaat 15 Januari (macam familiar) kami pilih untuk mengadakannya. Kali ini, kami namakan gotong-royong ini, ‘Mengeluarkan Hak Milik Peribadi’ untuk menfokuskan misi kami iaitu bukan mengemas atau membuat susun atur baru, akan tetapi hanya mengasingkan dan mengeluarkan barang yang bukan milik dapur.

Gotong-royong bermula pada waktu syuruk kira-kira 40 minit selepas solat Subuh berjemaah di masjid jami’ah. Suhu pagi itu boleh tahan, rasanya sekitar 12~13C.

Kami mulakan dengan mengeluarkan semua barangan yang ada di dalam dapur ke bahagian luar. Sesetengahnya memang susah untuk dikeluarkan jadi kami terus asingkan di dalam dapur.

Kejutan Khusuf

Jam sudah lebih kurang 9 pagi. Lebih suku dapur telah Berjaya dikemaskan. Tiba-tiba terdengar pengumuman dari masjid;

الصلاة الجامعة الصلاة الجامعة
“Solat berjemaah! Solat berjemaah!”

Patutlah 15 Januari ni macam familiar.. Kali ini kami tidaklah terkejut sangat, kerana kami telah membaca Utusan Online menyatakan bahawa akan berlaku gerhana matahari hari Jumaat. Cuma kerana kurang pengalaman, kami ingatkan jam 3.125 petang seperti waktu gerhana di Malaysia...

Kali ini syeikh yang membuat pengumuman itu tidak membiarkan semua kebingungan. Dia menambah;

طلاة الخسوف, صلاة الخسوف الآن
“Solat khusuf (gerhana). Solat khusuf sekarang.”

Disebabkan tidak bersedia dan sibuk, kebanyakan kami memilih untuk meneruskan kerja berkemas.

10 minit kemudian, syeikh yang sama (maaf, tidak teringat namanya) terus memulakan solatnya. Kali ini dia tidaklah membaca atau ruku’ serta sujud sepanjang seperti yang as-Syeikh Muhammad as-Sodiq biasa lakukan. Mungkin kerana hari ini hari Juma’at, ramai yang perlu mandi Juma’at. Kata Nabi alayhis-salam:

إذا جاء أحدكم الجمعة فليغتسل
“Apabila datangnya seorang daripada kalian hari Juma’at maka hendaklah dia mandi.”
[Sahih al-Bukhari no 837 dan Sahih Muslim no: 844]

Oleh itu ada ulama yang mengambil zhohir hadis ini dan juga hadis lain juga dengan berpendapat bahawa mandi Juma’at adalah wajib.

Sambung Kemas

Ahli dapur semakin ramai yang ada, tadi sibuk kot.. Kami (atau depa) mula kemas di bahagian yang paling haru. Bahagian dapur masak.

Semua peralatan disimpan di sana. Semua periuk simpanan. Semua pinggan mangkuk untuk tetamu. Yang paling sayu, tempat tidur rahsia kucing yang kesejukan. Ada kesan tinggalan kucing yang tidak diingini. Tabah.

Mujahid dan Hadi, ahli MAMTIY yang berwibawa, mengambil peranan menyusun dan mengasingkan kembali barang yang boleh diguna dan tidak. Juga menyusun kembali dengan lebih menjimatkan ruang.

Mula Masak Tengahari

Osman, seorang lagi ahli MAMTIY, pulang daripada pembelian ikan. Cadangannya untuk membuat ikan bakar. Tapi baru nak cari jaring nak masak. Takpa, sebenarnya dah ada.

Sebahagian ahli dapur ambil bahagian untuk memasak, sebahagian lagi menyusun kembali barangan yang dilonggokkan di luar, setelah pengasingan antara barang peribadi dan barang dapur.

Akhirnya siap juga kemas dapur.. Ada sedikit perubahan pada susunan rak, menampakkan dapur lebih luas.. Diriwayatkan daripada Nabi alayhis-salam katanya;

إن الله طيب يحب الطيب نظيف يحب النظافة كريم يحب الكرم جواد يحب الجود فنظفوا/ أفنيتكم ولا تشبهوا باليهود
“Sesungguhnya Allah itu baik menyukai kebaikan. Bersih menyukai kebersihan. Mulia Pemurah dan menyukai kepemurahan. Sempurna menyukai kesempurnaan. Maka bersihkan halaman-halaman rumah kamu dan jangan menyerupai Yahudi.”

[hadis Hasan diriwayatkan oleh at-Tirmizi]

Wednesday, January 13, 2010

Mula kelas pukul 8.00 pagi

As-Syeikh Abdul Majeed az-Zindany pernah memberitahu kami, bahawa tidak ada satu pun universiti dalam dunia ini yang memulakan pengajian sejurus selepas solat Subuh, kecuali universiti kami.

Manhaj jami’ah menjadikan kelas al-Qur’an (halaqah) bermula sejurus selepas solat Subuh. Begitu juga dengan kelas Tafsir bagi sesetengah tahun pengajian.

2 rakaat = haji + umrah !

Dengan sistem seperti ini, menyebabkan para pelajar boleh mendapat pahala mudah, kerana an-Nabi alayhis-salam berkata:

من صلى الفجر في جماعة ثم قعد يذكر الله حتى تطلع الشمس ثم صلى ركعتين كانت له كأجر حجة وعمرة/ تامة تامة تامة
“sesiapa yang bersolat Subuh secara berjemaah, kemudia dia duduk mengingati Allah sehingga matahari terbit, kemudian dia bersolat dua rakaat, dia mendapat pahala seperti pahala haji dan umrah/ sepenuhnya, sepenuhnya, sepenuhnya.”

Oleh itu, halaqah yang memang akan berakhir setelah matahari terbit, akan diakhiri dengan kebanyakan pelajar bersolat dua rakaat yang Nabi alayhis-salam nyatakan.
Sejuknya..

Namun begitu, minggu ini, para syeikh telah bersepakat untuk menunda kelas selepas Subuh ke pukul 11.30 pagi, disebabkan oleh suhu musim sejuk yang melampau. Khabarnya untuk seminggu ini sahaja.

Saya pernah mencuba memeriksa suhu Sanaa pada jam 8:30 pagi, menggunakan khidmat Google Weather. Didapati bacaan pada waktu itu adalah 46F atau pun lebih kurang 22C.
Suhu paling sejuk bagi hari itu ialah 24F atau lebih kurang 9.8C dan paling panas ialah 68F atau lebih kurang 34.2C. Sejuk tak? Nak dibandingkan dengan tempat bersalji taklah sangat. Tetapi cuaca di Sanaa yang sejuk dan kering tidak berapa selesa, kerana menyebabkan kulit merekah, dan berdarah.

Memang suhu minggu ini agak sejuk berbanding musim sejuk tahun-tahun lepas. Sehinggakan mereka yang bersolat Subuh di masjid ‘bernafas wap’ dari mulut mereka.
Mujahadah

Waktu yang sejuk ni, memang nak kena ada mujahadah yang tinggi untuk ambil wudhu’ pergi ke masjid solat Subuh, lebih-lebih lagi awal waktu.

Jami’ah, untuk budget, menutup elektrik jam 11:00 malam dan akan buka semula pukul 4:30 pagi azan pertama.

Cara nak cam tu azan pertama (bagi dalam jami’ah) ke tak, dia ada lafaz:

الصلاة خير من النوم
“Solat itu lebih baik daripada tidur”

Jadi bagi sesiapa yang nak ambil wudhu’ untuk solat malam, tak sempat la nak guna heater (bagi yang ada water-heater atau cerek elektrik).

Tak apa lah.. dalam satu hadis Rasulullah alayhi-salam menyebut:

ألا أدلكم على ما يمحو الله به الخطايا ويرفع به الدرجات ؟ قالوا بلى يا رسول الله قال إسباغ الوضوء على المكاره وكثرة الخطا إلى المساجد وانتظار الصلاة بعد الصلاة فذلكم الرباط
“apakah boleh aku menunjukkan kamu perkara yang Allah menghapuskan dosa, dan menaikkan dengannya darjat-darjat? Mereka (para sahabat) menjawab, mestilah ya Rasulallah. Dia berkata, “melebihkan wudhu’ ke atas tempat ‘kebencian’ dan banyaknya langkah ke masjid, dan menunggu masuk waktu solat selepas satu waktu solat. Maka itulah pengikatnya.”
Sahih Muslim no: 251

Antara syarah bagi kalimah ‘kebencian’ daripada ulama’ hadith ialah:

1. Air yang sangat sejuk
2. Tempat yang pedih kalau kena air
3. Ambil wudhu’ waktu Subuh selepas bangun tidur (sebab masih mengantuk)

Akan tetapi, jangan salah sangka pulak, kalau boleh guna pemanas, gunalah, jangan sampai memudharatkan diri pulak.. boleh rujuk komen as-Syeikh DR Yusuf al-Qardhawi dalam buku kecilnya as-Sunnah dan al-Bid’ah.

Ya Allah terimalah amalan kami..

Wednesday, January 6, 2010

Solat Gerhana Bulan di Masjid Jami’ah

Tanggal 16hb Muharram, pada malamnya (malam ke-17), telah terjadinya gerhana bulan di Yemen dan lain-lain.

(gambar gerhana)

Ahli-ahli dapur yang sedang membuat perbincangan malam sesama sendiri tiba-tiba dikejutkan dengan pengumuman dari masjid, (di jami’ah, semua urusan akan diumumkan dari masjid) lebih kurang jam 10:15 malam berbunyi:


الصلاة الجامعة الصلاة الجامعة الصلاة الجامعة
“Solat berjemaah! Solat berjemaah! Solat berjemaah!”


Saya terus teringat berita dalam satu suratkhabar Malaysia yang gerhana akan berlaku, tetapi tidak teringat pula tarikh dan waktunya.. Kami keluar dari dapur melihat bulan untuk memastikan adakah gerhana bulan atau tidak. Tetapi seakan-akan bukan, kerana bulan masih ada, akan tetapi sukunya seolah-olah terlindung oleh awan. (malam 16 masih bulan penuh ye..)
Tetapi kalau solat jenazah pengumumannya berbunyi:


الصلاة على الميت
“Solat ke atas jenazah”


Kami pun masuk semula ke dapur tertanya-tanya, adakah akan diadakan solat khusuf (gerhana) atau solat lain. Namun setelah setengah jam menunggu, masih tiada solat didirikan. Mungkin tersilap pengumuman.


Lebih kurang jam 10:50 malam, tiba-tiba takbiratul-ihram berbunyi. Suara as-Syeikh Muhammad as-Sodiq al-Mughlis berkumandang.


Rupa-rupanya memang solat khusuf.. Kami pun bergegas berwudhu’ dan pergi ke masjid.


Cara Solat


Diriwayatkan bahawa solat khusuf disunatkan membaca surah-surah yang panjang kerana solat itu bermula pada permulaan gerhana dan berakhir setelah berakhirnya gerhana:


خسفت الشمس في عهد رسول الله صلى الله عليه و سلم فقام رسول الله صلى الله عليه و سلم يصلي فأطال القيام جدا ثم ركع فأطال الركوع جدا ثم رفع رأسه فأطال القيام جدا وهو دون القيام الأول ثم ركع فأطال الركوع جدا وهو دون الركوع الأول ثم سجد ثم قام فأطال القيام وهو دون القيام الأول ثم ركع فأطال الركوع وهو دون الركوع الأول ثم رفع رأسه فقام فأطال القيام وهو دون القيام الأول...
“Telah berlakunya gerhana matahari di zaman Rasulullah sallallahu alayhi wasallam maka Rasulullah alayhis-salam bangkit mengerjakan solat seterusnya memanjangkan berdiri dengan sangat panjang, kemudian rukuk dan memanjangkan rukuk dengan sangat panjang kemudian bangun semula dan memanjangkan berdiri semula tidak sepanjang berdiri pertama, kemudian rukuk dan memanjangkan rukuk tidak seperti rukuk pertama, kemudian sujud, kemudian berdiri dan memanjangkan tidak seperti berdiri pertama…”
Sahih Muslim no: 901


Imam malam itu telah membaca surah al-Ankabut, ar-Rum, Luqman, dan surah as-Sajdah dalam 2 rakaat 4 rukuk.


Solat berakhir pada jam 11.45 malam, dan disambung dengan tazkirah pendek oleh Syeikh.


Alangkah lazatnya ibadah bagi orang yang benar-benar beriman!

 
Powered by Blogger