Banyak perselisihan berlaku kebelakangan ini. Tidak pasti salah faham atau fitnah penyakit hati yang terbawa-bawa oleh manusia berjiwa dangkal. Samada mereka ini tidak tahu ataupun tidak mahu tahu manakah benar dan manakah salah sehingga tidak dapat mengenalpasti baik buruk. Tambahan pula ia berlaku di kalangan umat islam yang mempunyai ukhuwah berpaksikan keimanan kepada Allah dan Nabi SAW.
Apa yang pasti setiap manusia mempunyai pandangan yang berbeza. Pasangan suami isteri sahaja sudah cukup untuk menjadi contoh bagi menunjukkan perbezaan pendapat di dalam sebuah rumah tangga. Ulama’ juga saling berselisih pendapat dalam masalah hukum. Masing-masing mengemukakan hujah dan dalil sendiri untuk memperkuatkan pandangan mereka.
Firman Allah SWT:
“Dan kalaulah Tuhanmu (wahai Muhammad) menghendaki, tentulah Ia menjadikan umat manusia semuanya menurut agama yang satu. (Tetapi Ia tidak berbuat demikian) dan kerana itulah mereka terus-menerus berselisihan.” (Hud: 118)
Para ulama’ menafsirkan bahawa mereka yang akan sentiasa berselisih adalah di kalangan muslim dan kuffar atau di antara yang benar dan yang batil. Namun perbezaan juga berlaku sesama muslim yang memperjuangankan agama Allah. Sebenarnya, perbezaan dari sudut wasilah dan wajihah dakwah bukan mununtut perpecahan, tetapi dapat ia membawa kepada kematangan dan kebersamaan supaya saling lengkap melengkapi.
Tetapi yang pasti perselisihan ini tidak boleh membawa kepada pertengkaran dan pecah belah. Kita perlu membezakan di antara ikhtilaf tanawwu’(pelbagai) atau pun tadhood(berlawan). Syed qutb ada menyatakan dalam fi zilal bagi ayat 213 surah al baqarah:
“Di sini jelaslah satu hakikat yang besar bahawa daripada tabiat manusia itu saling berikhtilaf kerana ikhtilaf adalah daripada asal penciptaan manusia sebagai hikmah yang besar untuk mendapat kekuasaan di atas muka bumi ini. Khilafah ini memerlukan tugas yang berbeza-beza dan persediaan dari setiap segi supaya semua saling lengkap melengkapi dan bergabung” (fi zilal quran)
Penyelesaian
Islam adalah jalan penyelesaian yang terbaik. Jika ada perselisihan faham, maka kembalilah kepada al quran dan sunnah kerana inilah sumber kita. Firman Allah SWT:
“Kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya - jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya. “ (an nisa’: 59)
Bermakna setiap penyelesaian perlu merujuk kepada dua sumber ini. Menggunakan prinsip-prinsip islam dan kaedah-kaedah yang syar’ei. Tidak kira dari aspek adab, akhlak mahupun hukum. Bukan mengikut akal sendiri yang terhad dan hawa nafsu membabi buta.
Saturday, February 27, 2010
BERBEZAKAH KITA?
Posted by akhtar_7 on 5:28 PM
0 comments:
Post a Comment