Tanggal 16hb Muharram, pada malamnya (malam ke-17), telah terjadinya gerhana bulan di Yemen dan lain-lain.
(gambar gerhana)
Ahli-ahli dapur yang sedang membuat perbincangan malam sesama sendiri tiba-tiba dikejutkan dengan pengumuman dari masjid, (di jami’ah, semua urusan akan diumumkan dari masjid) lebih kurang jam 10:15 malam berbunyi:
الصلاة الجامعة الصلاة الجامعة الصلاة الجامعة
“Solat berjemaah! Solat berjemaah! Solat berjemaah!”
Saya terus teringat berita dalam satu suratkhabar Malaysia yang gerhana akan berlaku, tetapi tidak teringat pula tarikh dan waktunya.. Kami keluar dari dapur melihat bulan untuk memastikan adakah gerhana bulan atau tidak. Tetapi seakan-akan bukan, kerana bulan masih ada, akan tetapi sukunya seolah-olah terlindung oleh awan. (malam 16 masih bulan penuh ye..)
Tetapi kalau solat jenazah pengumumannya berbunyi:
الصلاة على الميت
“Solat ke atas jenazah”
Kami pun masuk semula ke dapur tertanya-tanya, adakah akan diadakan solat khusuf (gerhana) atau solat lain. Namun setelah setengah jam menunggu, masih tiada solat didirikan. Mungkin tersilap pengumuman.
Lebih kurang jam 10:50 malam, tiba-tiba takbiratul-ihram berbunyi. Suara as-Syeikh Muhammad as-Sodiq al-Mughlis berkumandang.
Rupa-rupanya memang solat khusuf.. Kami pun bergegas berwudhu’ dan pergi ke masjid.
Cara Solat
Diriwayatkan bahawa solat khusuf disunatkan membaca surah-surah yang panjang kerana solat itu bermula pada permulaan gerhana dan berakhir setelah berakhirnya gerhana:
خسفت الشمس في عهد رسول الله صلى الله عليه و سلم فقام رسول الله صلى الله عليه و سلم يصلي فأطال القيام جدا ثم ركع فأطال الركوع جدا ثم رفع رأسه فأطال القيام جدا وهو دون القيام الأول ثم ركع فأطال الركوع جدا وهو دون الركوع الأول ثم سجد ثم قام فأطال القيام وهو دون القيام الأول ثم ركع فأطال الركوع وهو دون الركوع الأول ثم رفع رأسه فقام فأطال القيام وهو دون القيام الأول...
“Telah berlakunya gerhana matahari di zaman Rasulullah sallallahu alayhi wasallam maka Rasulullah alayhis-salam bangkit mengerjakan solat seterusnya memanjangkan berdiri dengan sangat panjang, kemudian rukuk dan memanjangkan rukuk dengan sangat panjang kemudian bangun semula dan memanjangkan berdiri semula tidak sepanjang berdiri pertama, kemudian rukuk dan memanjangkan rukuk tidak seperti rukuk pertama, kemudian sujud, kemudian berdiri dan memanjangkan tidak seperti berdiri pertama…”
Sahih Muslim no: 901
Imam malam itu telah membaca surah al-Ankabut, ar-Rum, Luqman, dan surah as-Sajdah dalam 2 rakaat 4 rukuk.
Solat berakhir pada jam 11.45 malam, dan disambung dengan tazkirah pendek oleh Syeikh.
Alangkah lazatnya ibadah bagi orang yang benar-benar beriman!
0 comments:
Post a Comment