Waktu Di Malaysia

Waktu Di Yaman

Thursday, December 2, 2010

Di Manakah Kita dan Di manakah al-Quran?

 Kitab al Quran al Kareem merupakan kitab yang teragung dan paling mulia. Ia telah menjadikan umat arab jahiliyah yang hidup dalam kesesatan dan terumbang-ambing bertukar menjadi ummat yang terbaik serta memerintah hampir dua pertiga dunia. Malangnya walaupun ummat Islam sekarang juga memiliki kitab al Quran yang sama, tetapi ummat Islam merupakan ummat yang paling mundur dari segenap segi. Kita semua mengakui hakikat bahawa kitab al Quran mampu mengubah hidup manusia, akan tetapi realiti yang berlaku sekarang adalah sebaliknya.

  
 Sungguhpun kita melihat sekarang, masyarakat mula mengambil berat tentang al Quran, di mana syarikat-syarikat percetakan mushaf al Quran yang semakin banyak, radio dan televisyen juga mengumandangkan bacaan ayat-ayat al Quran siang dan malam, kelas-kelas pengajian al Quran serta maahad-maahad tahfiz al Quran yang tumbuh bagaikan cendawan di merata tempat. Akan tetapi semua usaha tersebut masih tidak merealisasikan tanggungjawab kita yang sebenarnya terhadap al Quran. Ia tidak disertai dengan kesedaran bahawa al Quran merupakan faktor utama dan terpenting yang mampu memimpin ummat dan membimbing hidup mereka. Mukjizat al Quran telah dipencilkan. Manusia juga sudah tidak terkesan dengan mukjizat al Quran..

   Semua ini tidak syak lagi, bukanlah perkara yang lahir pada hari ini. Bahkan ia merupakan apa yang kita tuai dan kita warisi turun temurun daripada hasil muamalah yang silap terhadap al Quran. Ummat Islam mula menjauhi al Quran sikit demi sedikit. Peranan al Quran yang pada asalnya pemimpin ummat serta penyuluh dan pembimbing hidup mereka, telah menjadi sekadar alat untuk mendapat keberkatan, ia di baca sebagai penyeri majlis-majlis rasmi, dibaca jika ada kehilangan barang, dibaca apabila ada kematian dan dibaca ketika menziarahi kubur. Istilah ahli al Quran diberikan kepada mereka-mereka yang hanya menghafal huruf-huruf dan kalimat-kalimatnya. Dan sistem pengajian al Quran hanya berkisar tentang mempelajari hukum-hukum tajwid, makhraj huruf dan tarunnum serta lagunya sahaja. Seolah-olah kita hidup dalam suatu sistem pendidikan yang terbalik, seluruh manusia di dunia ini membaca untuk balajar sesuatu, tapi kita belajar untuk membaca. Semua usahanya hanya tertumpu kepada bagaimana untuk membaca al Quran dengan baik dari segi makhraj huruf dan hukum tajwidnya. Dia tidak pula merasa aib dan malu apabila tidak memahami makna ayat-ayat al Quran seperti mana dia merasa malu apabila tidak membaca al Quran dengan tajwid yang betul. Ini tidak bermakna kita mengambil sikap sambil lewa dalam mempelajari hukum tajwid dan memperelokkan bacaan. Akan tetapi kita menyeru supaya sistem pengajian al Quran di negara kita disemak kembali agar sampai ke tahap mentadabbur, meneliti dan mengkaji isi kandungannya selari dengan mentahsin al Quran.


   Membaca al Quran diungkapkan di dalam bahasa arab dengan tilawatul quran bukannya qiraatul quran. Ini kerana kalimah tilawah berasal dari perkataan tala, yatlu tilawatan yang bermaksud berjalan dibelakangnya serta mengikutnyaJa’a fulan yatluhu fulan.

   Maka sewajarnyalah kita bukan sekadar membaca, malah wajib mengikut segala kandungannya. Firman Allah swt: Sesungguhnya Telah datang kepadamu cahaya dari Allah, dan Kitab yang menerangkan dengan Kitab Itulah Allah menunjuki orang-orang yang mengikuti keredhaan-Nya ke jalan keselamatan, dan (dengan Kitab itu pula) Allah mengeluarkan orang-orang itu dari gelap gulita kepada cahaya yang terang benderang dengan seizin-Nya, dan menunjuki mereka ke jalan yang lurus.

   Di antara perkara pokok yang tiada siapa mempertikaikannya adalah, tujuan utama seseorang itu membaca adalah untuk mendapatkan maklumat dan pengetahuan. Sesiapa yang membaca bahan bacaan samada buku, majalah, suratkhabar, artikel-artikel di internet dan sebagainya, mestilah didorong oleh sikap ingin tahu apa yang hendak disampaikan oleh si penulis tersebut serta maklumat-maklumat yang terkandung di dalamnya. Ini bermakna, tidak mungkin seseorang yang berakal waras membaca sesuatu tanpa memikirkan dan memahami apa yang dibacanya.

   Seseorang itu membaca adalah bertujuan untuk mengetahui sesuatu daripada bacaannya tersebut. Manakala jika seseorang meminta kita membaca suatu bacaan, sudah amat pastilah dia mahukan kita memahami mesej yang hendak disampaikan. Kaedah ini dipraktikkan oleh semua manusia di atas muka bumi ini terhadap semua bahan bacaan kecuali satu. Tahukan hadirin sidang jumaat yang dirahmati Allah sekalian apakah bahan bacaan tersebut. Dengan penuh rasa insaf ia adalah buku yang paling hebat di muka bumi ini, satu-satunya buku yang tidak ada satu pun kesalahan, keraguan mahupun kebatilan…

   Allah swt telah menurunkan al Quran agar manusia membacanya, memikirkan maknanya, memahami kehendaknya kemudian berusaha bersungguh-sungguh untuk mengamalkannya. Firman Allah azza wajalla: Ini adalah Kitab yang kami turunkan kepadamu penuh dengan berkah supaya mereka memperhatikan ayat-ayatNya dan supaya mendapat pelajaran orang-orang yang mempunyai fikiran.

   Ummat Islam kini merupakan ummat yang paling ketinggalan serta terkebelakang sedangkan ditangan mereka telah ada suatu perkara yang mampu menjadikan mereka ummat yang paling hadapan dan maju jaya. Allah merupakan sumber kemuliaan dan kemegahan kita. Ya, itulah peranannya serta kemampuan yang dimilikinya.

   Maka apakah yang telah dilakukan oleh kita dengan kemuliaan yang kita miliki ini? Dukacita sekali kerana kita telah mengabaikannya serta meninggalkannya dan dalam masa yang sama kita mendakwa bahawa kita sentiasa mengambil berat dan memandang tinggi terhadap al Quran. Barangkali ungkapan yang paling sesuai adalah kita mengangkatnya untuk mengabaikannya.

   Di sini mungkin timbul persoalan, apakah yang dimaksudkan dengan kita mengangkatnya untuk mengabaikannya, sedangkan perkataan mengangkat menunjukkan sesuatu yang positif dan mengabaikan merupakan sesuatu yang negatif. Bagaimanakah dua perkataan yang berlawanan digandingkan bersama. Memang sesungguhnya itulah hakikat yang berlaku, kita memang mengangkat al Quran ke tempat yang tinggi sehingga sukar diambil untuk dibaca, dan kita juga memang memandang tinggi terhadap ayat-ayat al Quran yang tergantung di dinding-dinding rumah kita dan di masjid serta surau kita. Lalu kita mengabaikan kandangan al Quran, kita tidak memahami kesyumulan ajaran al Quran. Yang mana kita mahu kita ambil, dan yang mana tidak sesuai dengan hawa nafsu kita, maka dilempar jauh dengan hujjah ianya ketinggalan zaman. Rasulullah saw pernah mengadu mengenainya kepada Allah seperti yang dirakamkan oleh Allah di dalam surah al Furqan ayat 30: Berkatalah Rasul: “Ya Tuhanku, Sesungguhnya kaumku menjadikan Al Quran itu sesuatu yang tidak diacuhkan”.

1 comments:

maimunah said...

Salam. bacalah Al-Quran. Tak sempat setiap hari, seminggu 1x, tetapi x boleh lebih dr itu. Cubalah patuhi jadual yg kita sendiri boleh aturkan. Jgn kita lalai, 10 ayat setiap hari, itu adalah minima...wallahua'lam.

 
Powered by Blogger